Sunday, 9 April 2017

pampasan pertunangan menurut 4 mazhab dan memilih jodoh dalam Islam


1.0       ISI KANDUNGAN
NO.
BUTIRAN
MUKA SURAT
1.0
ISI KANDUNGAN
1
2.0
PENGHARGAAN
2
3.0
PENDAHULUAN
3

4.0

MEMILIH JODOH DALAM ISLAM
Ø  DASAR PEMILIHAN ISTERI
Ø  DASAR PEMILIHAN SUAMI


4 – 6

5.0

PERTUNANGAN

7

    6.0

SYARAT PERTUNANGAN

8 – 10

7.0

MELIHAT WANITA YANG HENDAK DIPINANG

10 - 11

8.0

KHITBAH (MEMINANG)

12


9.0

PAMPASAN PERTUNANGAN SELEPS PUTUS TUNANG
Ø  PANDANGAN MAZHAB
Ø  PANDANGAN DARI SEGI PERUNDANGAN



13 – 17

10.0

TUJUAN PERTUNANGAN

18

11.0

PENUTUP

19-20

11.0

RUJUKAN

21



2.0       PENGHARGAAN
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

“YA ALLAH, AKU BERLINDUNG KEPADAMU DARIPADA  PERASAAN  SEDIH DAN  DUKACITA, AKU BERLINDUNG KEPADAMU DARIPADA  LEMAH DAN MALAS, AKU  BERLINDUNG  KEPADAMU  DARIPADA  BAKHIL DAN PENAKUT DAN  AKU BERLINDUNG KEPADAMU DARIPADA  BEBAN HUTANG DAN TEKANAN PERASAAN.”
Alhamdulillahirabil a’lamin, bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah mengurniakan rahmat-Nya dan qudrat kepada hamba-Nya yang kerdil ini. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita kepada Nabi Muhammad s.a.w kekasih Allah s.w.t dan semoga kita semua beroleh berkat, rahmat dan syafaat daripadanya di akhirat kelak.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga, sahabat, para muslimin dan muslimat yang sentiasa menitipkan doa untuk keberkatan kami disini dan sedikit sebanyak semampu seboleh memberi idea – idea yang bernas dan sokongan rohani yang tidak ternilai untuk menghasilkan  tugasan ilmiah yang bermutu ini.
Tidak lupa juga kepada Ustaz Suhaimi Bin Abu Hasan selaku pensyarah yang mengajar madah fiqh munakahat ini atas tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan. Dengan izin Allah, beliau telah memberikan teguran yang berhemah dan baik bagi menyempurnakan lagi kerja kursus ini. Semoga jasa baiknya diberikan ganjaran dengan kurniaan daripada Allah yang tidak ternilai harganya.
Ribuan  dan  jutaan terima kasih juga kepada tenaga pengajar, pensyarah – pensyarah yang turut membantu dalam menyiapkan kerja kursus ini dengan secara tidak langsung atau langsung dan begitu juga kepada sesiapa sahaja yang turut serta menyempurnakan tugasan ini. Kesudian anda amatlah saya hargai. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.

Syukran Jazillan!


3.0       PENDAHULUAN
Allah SWT menjadikan manusia dengan fitrahnya yang ingin hidup berpasang-pasangan, berkasih sayang, bahagia dan dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal. Fitrah tersebut dapat dilaksanakan melalui ikatan perkahwinan yang sah. Perkahwinan adalah salah satu sunnatullah yang umum berlaku pada semua makhluk Tuhan, baik pada manusia, haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan.
Firman Allah sw.t:
سبحن الذي خلق الازوج كلها مما تنبت الارض  ومن انفسهم ومما لا يعلمون
Maksudnya :
“Maha Suci Tuhan yang telah menjadikan segala sesuatu berpasang-pasangan, baik tumbuh-tumbuhan maupun diri mereka sendiri dan lain-lain yang tidak mereka ketahui”                           

                                                                                                           ( Surah Yaasin: ayat 36 )

Tuhan tidak mahu menjadikan manusia itu seperti makhluk lain yang hidup bebas mengikut nalurinya dan berhubungan antara lelaki dan wanita tanpa batasan seperti haiwan yang tiada akal fikiran. Demi menjaga kehormatan dan kemuliaan martabat manusia, Allah swt telah mengadakan hukum yang sesuai dengan martabat marnusia sehingga hubungan antara lelaki dan perempuan diatur secara terhormat dan berdasarkan saling redha meredhai dengan perkahwinan (ijab dan qabul) yang menghalalkan hubungan diantara lelaki dan perempuan.
Pertemuan di antara dua insan berlainan jantina dalam suatu ikatan suci perkahwinan ini adalah permulaan kepada suatu proses membina keluarga bahagia, harmoni yang diwarnai oleh Mawaddah dan Rahmah. Keluarga bahagia ini bakal melahirkan zuriat yang baik dan membentuk bersama zuriat lain, masyarakat dan ummah terbaik pula. Maka permulaan pertama proses ini dinamakan peminangan atau pertunangan .
Pertunangan berasal dari bahasa melayu yang memiliki sama erti dengan khitbah dalam bahasa arab atau dikenali dengan istilah meminang. Pertunangan, khitbah atau pinangan ialah satu ikatan perjanjian yang berlaku di antara pihak lelaki dan perempuan utuk mendirikan rumah tangga.[1]


4.0       MEMILIH JODOH DI DALAM ISLAM

4.0.1    DASAR PEMILIHAN ISTERI
Peranan isteri begitu penting kerana padanya segala urusan tentang rumah tangga diamanahkan. Selain menjadi penyeri dan teman hidup suaminya, isteri harus menjaga kepentingan makan minum keluarga, mengandung dan mendidik anak-anak, menyimpan rahsia dan menjaga maruah suami an sebagainya. Oleh itu, terdapat beberapa dasar pemilihan isteri mengikut syarak antaranya ialah :

I.       Perempuan yang taat beragama.
Sabda Nabi s.a.w :
تكح المرأة لأربعة : لمالها ولحسبه وبجمالها ولدينها. بذات الدين تربت يدك
 Maksudnya :
“Dinikahi perempuan itu kerana hartanya, dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beroleh keuntungan.
( Hadis riwayat al-Bukhari )

Oleh itu, utamakanlah pemilihan isteri yang taat beragama seperti suka beribadat, menutup aurat dan lain-lain melebihi dasar-dasar lain seperti harta kekayaan,nasab keturunan dan rupa paras yang menawan.

II.    Berketurunan yang baik dan dibesarkan dalam persekitaran yang sempurna akhlaknya.
Islam menggalakkan supaya memilih bakal isteri daripada nasab keturunan yang baik-baik dan dibesarkan dalam suasana kekluargaan dan masyarakat yang berhemah tinggi dn berbudi pekerti mulia serta mengamalkan nilai hidup yang diredhai Allah s.w.t. ini penting untuk membentuk suasana yang harmoni, saling kasih mengasihi dan hormat menghormati antara suami dan isteri




III. Perempuan yang subur dan berpotensi melahirkan ramai anak.
Nabi Muhammad s.a.w akan berbangga dengan ramainya umat Islam pada hari kiamat nanti terutamanya umat yang beriman dan bertakwa. Justeru itu, amat tepat sekiranya dapat memilih wanita yang subur dan mampu melahirkan anak yang ramai. Wanita ini dapat dikenali dengan melihat raminya anak-anak saudara perempuan dan juga saudara mara perempuannya yang terdekat.[2]

IV. Sekufu atau hampir sekufu.
Antara faktor lain yang membawa kepada kebahagiaan rumah tangga ialah faktor ekonomi, pelajaran dan dari segi umur. Maksudnya janganlah bakal si suami itu terallu jauh jarak umurnya dengan bakal isteri. Seeloknya ialah 10 tahun lelkai lebih tua daripada wanita.
Namun, apabila si lelaki mempunyai latar belakang pelajaran yang lebih tinggi dan juga taraf ekonomi yan lebih baik, maka ini boleh menjamin rasa hormat si isteri pada suaminya.

V.    Masih gadis atau anak dara.
Rasulullah s.a.w menggalakkan umat Islam memilih isteri daripada kalangan gadis bukan janda, sesuai dengan nasihat baginda s.a.w kepada seorang sahabat, Jabir r.a : ’’Kemesraan yang akan lahir lebih menggembirakan kedua-dua belah pihak.’’

VI. Pasangan bukan daripada keluarga terdekat.
Tidak begitu digalakkan berkahwin dengan pasangan daripada kalangan kaum kerabat yang hampir seperti sepupu. Antara sebabnya ialah mengurangkan keinginan syahwat yang boleh menjejaskan keharmonian perkahwinan dan dibimbangi mendapat anak yang cacat dan kurang bijak.[3]





4.0.2    DASAR PEMILIHAN SUAMI

                               I.            Kuat agama dan berakhlak mulia.
Lelaki soleh ialah bakal ketua keluarga yang mampu mentadbir isteri, anak-anak dan rumah tangga dengan baik dan bertanggungjawab. Itulah asas penerimaan seorang lelaki sebagai menantu oleh keluarga pihak perempuan.
Menerusi hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :

إذا خطب إليكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوا تكن فتنة في الارض وفساد عريض
Maksudnya :
”Apabila datang kepadamu seorang (lelaki) yang kamu redhai agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah anakmu itu. Jika tidak berbuat demikian, nescaya akan berlakufitnah dan kerosakan di atas muka bumi ini.’’
( Hadis riwayat at-tarmizi )

                            II.            Bukan keluarga terdekat
Tidak digalakkan bakal suami daripada kalangan keluarga yang terdekat.

                         III.            Bebas daripada penyakit berat
Seorang lelaki mestilah bebas daripada penyakit-penyakit yang menghalangnya daripada berkahwin seperti gila, kusta, dan lemah syahwat.[4]





5.0       PERTUNANGAN
Setelah mengambil kira dasar-dasar pemilihan isteri dan suami, maka pihak lelaki bolehlah mengutus wakil untuk melamar dan meminang calon isteri. Sebelum menerima lamaran tersebut, ibu dan bapa haruslah mendapatkan persetujuan anak perempuannya terlebih dahulu. Ini perlu dilakukan untuk memberikan peluang kepada si anak meluahkan isi hatinya yang ikhlas agar perkahwinan yang bakal dilangsungkan nanti akan menambah kerukunan dan kebahagiaan.

5.0.1    PENGERTIAN PERTUNANGAN MENURUT ISLAM
Meminang ialah cara yang dilakukan oleh seseorang lelaki bagi menyampaikan hasrat dan keinginannya hendak memperisterikan seorang wanita secara terbuka dan terus terang,baik dilakukan sendiri atau melalui perantaraan keluarganya atau sahabatnya yang dapat dipercayai. Pertunangan biasanya diadakan mengikut adat resam dalam sesebuah masyarakat dimana ia dianggap sebagai langkah permulaan kepada perkahwinan. Adat pertunangan ini boleh diikuti selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam, selaras dengan Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud :

 ” Sesuatu perkara atau perbuatan yang dianggap sebagai baik oleh masyarakat Islam adalah baik disisi Allah swt”.

Menurut pandangan ulama dari mazhab Maliki, pertunangan adalah satu ungkapan untuk menyeru kepada pernikahan dan apa-apa yang berlaku dari perbualan. Menurut pandangan ulama dari mazhab Shafie pula pertunangan adalah menyentuh (mengemukakan) pernikahan daripada orang yang diambil kira dengannya[5].




6.0       SYARAT PERTUNANGAN

6.0.1    PEREMPUAN YANG HENDAK DIPINANG BUKAN MENJADI ISTERI KEPADA LELAKI LAIN.

Lelaki yang menjalin hubungan degan isteri orang sering menyatakan kesediaan untuk mengambil ‘kekasihnya’ sebagai isteri jika diceraikan oleh suaminya. Kenyataan itu juga bermaksud ‘meminang’. Peminangan itu akan mendorong perempuan meminta cerai daripada suaminya sebagai jalan untuknya berkahwin dengan kekasihnya. Sesungguhnya penceraian amat ditegah oleh Islam.
Perempuan yang masih bergelar isteri haram dipinang oleh mana-mana lelaki lain kerana dia menjadi hak mutlak suaminya. Seorang isteri hanya putus hubungan dengan suami selepas dia diceraikan atau becerai mati dan tamat tempoh iddahnya. Islam amat mementingkan hubungan suami isteri. Justeru, isteri ditegah sama sekali menaruh minat kepada lelaki lain. Lelaki pula diharamkan menaruh minat kepada mana-mana perempuan yang masih bergelar isteri bagi mengelakkan perkara buruk.

6.0.2    PEREMPUAN YANG HENDAK DIPINANG BUKAN TUNANGAN ORANG LAIN.
Larangan lelaki meminang perempuan menjadi tunangan lelaki lain dinyatakan melalui sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :

            “Seorang Mukmin adalah saudara bagi Mukmin yang lain. Oleh itu, tidak halal die membeli pembelian saudaranya dan tidak halal pula dia meminang pinangan saudaranya itu.
(Hadis Riwayat Muslim)

Islam amat mementingkan hubungan persaudaraan.maka sesiapa yang memutuskan persaudaraan amat dicela sifatnya. Bagaimanapun, perempuan yang sudah bertunang boleh dipinang setelah ikatan pertunangan dibatalkan oleh pihak lelaki. Perkara itu juga mungkin boleh berlaku di atas ermintan pihak perempuan dan dipersetujui oleh pihak lelaki.



6.0.3    PEREMPUAN YANG HENDAK DIPINANG TIDAK BERADA DALAM TEMPOH IDDAH.

Dalam masa iddah perempuan tidak dibolehkkan berkahwin. Wanita yang diceraikan oleh suaminya dengan talak raji’e boleh dirujuk kembali oleh suaminya pada bila-bila masa yang dikehendakinya selagi belum tamat tempoh iddah. Perkara ini dinyatakan dalam firman Allah s.w.t :
وبعولتهن أحق بردهن في ذلك إن أرادوا اصلاحا
Maksudnya :
“dan bekas suami mereka lebih berhak kepada mereka (rujuk),(dalam masa iddah raji’e), jika mereka menghendaki perdamaian”
( Surah al-Baqarah : ayat 228 )
  
6.0.4    PEREMPUAN YANG HENDAK DIPINANG MESTILAH SAH NIKAH DENGANNYA ATAU BUKAN MUHRIMNYA.
Firman Allah s.w.t :
حرمت عليكم أمهاتكم وبناتكم واخواتكم وعماتكم وخلتكم وبنات الاخ وبنات الاخت وامهاتكم التي ارضعنكم واخوتكم من الرضعة وامهت نساىكم وربىبكم التي في حجوركم من النساىكم التي دخلتم بهن فإن لم تكونوا دخلتم بهن فلا جناح عليكم وحلىل أبناىكم الذين من أصلبكم وأن تجمعوا بين الاختين الا ما قد سلف إن الله كان غفورا رحيما
Maksudnya :
“Diharamkan ke atasmu menikahi ibu-ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan bapamu, saudara-saudara perempuan ibumu, anak-anak perempuan daipada saudara lelakimu, anak-anak perempuan daripada saudara perempuanmu,ibu-ibu yang menyusukanmu, saudara-saudara perempuan sepersusuan,ibu mentuamu dan anak-anak tirimu yang ibunya sudah kamu campuri, tetapi jika kamu belum mencampuri ibunya, kamu boleh mengahwininya.
                                                                                                          ( Surah al-Nisa : ayat 23 )
Haram bagi seorang lelaki meminang wanita muhrimnya, kerana dia antara kedua-duanya diharamkan nikah.[6]

7.0       MELIHAT WANITA YANG HENDAK DIPINANG.

            Barangsiapa yang hatinya berhasrat ingin meminang seorang wanita, maka disyariatkan akan baginya untuk melihatnya sebelum ia meminang. Muhammad bin Maslamah r.a berkata : ”Aku meminang seorang wanita, maka aku bersembunyi dan mengintip wanita tersebut sehingga aku dapat melihatnya. ”Kemudian dikatakan kepadanya, ”Bagaimana engkau melakukan hal ini sedangkan engkau adalah sahabat Rasulullah s.a.w ? Ia menjawab, : Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :
إذا ألقى الله في قلبي امرئ خطبة امرأة، فلا بأسا أن ينظر إليها
Maksudnya ;
“Jika Allah menaruh hasrat kepada hati seorang lelaki untuk melamar seorang wanita, maka tidak mengapa jika dia melihat wanita tersebut.
( Sunan Ibnu Majah )

Seseorang lelaki itu boleh melihat bakal tunangannya dua atau tiga kali jika dia perlu melihat keadaan perempuan tersebut dengan lebih jelas lagi untuk mengelakkan kekecewaan selepas berkahwin. Tetapi perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan mata, tetapi ia juga dengan maksud untuk meninjau sikap, budi bahasa, cara hidup dan apa-apa maklumat yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan pasangan (kecuali yang haram dibuat dan dilihat).
Walaubagaimanapun, hadis-hadis tentang melihat pinangan tidak menentukan secara khusus tempat-tempat yang boleh dilihat. Jumhur ulamak berpendapat bahagian yang boleh dilihat iaitu muka dan tapak tangan kerana muka dan tapak tangan adalah anggota zahir yang dimaksudkan oleh firman Allah swt :


ولا يبدين زيتهن الا ما ظهر منها
Maksudnya :
”Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan yang zahir padanya”
( Surah an-Nur: ayat 31 )

Dengan melihat mukanya dapat diketahui kecantikan seseorang dan dengan melihat tapak tangannya dapat diketahui akan kesihatan badan serta kelembutannya secara amnya.
Sekiranya seseorang lelaki itu tidak berpeluang untuk melihat perempuan yang bakal dipinang, dia boleh menghantar seorang wanita untuk melihat perempuan tersebut. Rasulullah saw pernah menghantar Ummu Sulaim untuk melihat seorang wanita dan Baginda saw berkata kepadanya ”Lihatlah kedua-dua ketingnya dan ciumlah bau badannya”.

Daripada hadis diatas dapat difahami bahawa wanita yang dihantar oleh seseorang lelaki untuk melihat bakal tunangnya boleh melihat lebih daripada apa yang boleh dilihatnya sendiri. Faedahnya tentulah lebih banyak lagi. Mesti diingat bahawa bilamana seseorang lelaki yang melihat pinangannya dan ternyata tidak berkenan dihati hendaklah dia diam dan jangan mengatakan sesuatu yang boleh menyakiti hatinya, sebab boleh jadi perempuan yang tidak disukainya itu, disukai oleh lelaki lain.
Melihat bakal pinangannya tidak khusus untuk lelaki sahaja, bahkan perempuan juga boleh melihat lelaki yang berhasrat meminangnya supaya dapat dipastikan keadaan sebenar lelaki tersebut yang mungkin dapat mendatangkan kesukaan atau sebaliknya terhadap lelaki tersebut.[7]


8.0       KHITBAH (MEMINANG)

 Khitbah ertinya melamar seorang wanita untuk dijadikan isterinya dengan cara yang telah diketahui di kalangan masyarakat. Jika telah tercapai kesepakatan,maka hal tersebut hanyalah suatu  janji kesepakatan untuk menikah, lelaki yang melamar tersebut tidak diperbolehkan untuk melakukan apa-apa pun terhadapa wanita yang dilamarnya kerana statusnya masih orang lain sampai ia diikat dengan tali pernikahan.

Pada kebiasaannya, pihak lelaki yang akan melakukan peminangan terhadap perempuan. Tetapi didalam Islam, pihak perempuan juga boleh melakukan lamaran terhadap pihak lelaki. Ini berdasarkan kepada hadis berikut: Bahawa Anas r.a. berkata disisi anak perempuannya : 

”telah datang seorang wanita kepada Rasulullah saw lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda)”; berkatalah wanita itu ”Adakah dikau punyai hajat kepadaku ?”, maka anak perempuan Anas r.a. menyampuk, ”Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya” maka Anas menjawab ”Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi saw lalu menawarkan dirinya kepada Baginda saw.

Dalam masyarakat Islam di Malaysia, kebiasaannya urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki yang akan menghantar rombongan ke rumah calon isteri yang telah di sepakati. Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi.
Menurut syarak disunatkan orang yang meminang supaya berkhutbah sebelum meminang dan sebelum akad nikah. Khutbah dimulakan dengan memuji Allah saw dan bersalawat kepada Nabi saw. Kemudian dia hendaklah berpesan supaya bertaqwa kepada Allah dan barulah melahirkan tujuannya saperti umpamanya ”Kami datang untuk meminang anak perempuan kamu”.Wali perempuan juga disunatkan berkhutbah yang dimulai dengan memuji Allah swt dan bersalawat serta berpesan supaya bertaqwa dan kemudiannya baru menjawab pertanyaan pihak lelaki dengan umpamanya ”Saya terima pinangan kamu”.
Dan diantara perkara-perkara yang dibincangkan dalam majlis pertunangan ini adalah seperti jumlah mas kahwin, hantaran dan tarikh akad nikah.[8]


9.0       PAMPASAN PERTUNANGAN SELEPAS PUTUS TUNANG

9.1       SUDUT PANDANGAN 4 MAZHAB

9.1.1    Kesan ke atas mahar ( mas kahwin )
Ulama tidak berbeza pendapat, mas kahwin yang didahulukan dalam majlis pertunangan oleh pihak lelaki boleh dituntut kembali.  Ini kerana mahar hanya akan menjadi milik perempuan setelah berlakunya akad nikah atau perkahwinan.[9]

9.1.2    Kesan ke atas pemberian atau hadiah ( hantaran )
Pemberian atau hadiah pertunangan berlainan dengan pemberian biasa (hibbah) kerana pemberian tersebut mengharapkan balasan dari pihak penerima iaitu melangsungkan perkahwinan. Oleh itu jika ternyata perkahwinan yang bakal dilangsungkan itu dibatalkan, maka pihak pemberi berhak menuntut kembali pemberiannya. Namun, berlaku perselisihan fuqaha' berhubung dengan persoalan ini iaitu :                                     

       I.            Mazhab Syafie berpendapat bahawa orang yang memberi berhak mengambil balik pemberian  itu, sama ada ia masih wujud atau  telah rosak, tanpa mengira pihak mana yang memutuskan pertunangan itu.

    II.        Mazhab Hanafi berpendapat bahawa pihak yang memberi berhak menuntut kembali sekiranya hadiah itu masih wujud dalam pihak yang menerima, sebaliknya jika telah rosak, maka pemberi tidak berhak lagi menuntutnya kembali kerana hadiah adalah suatu pemberian dan pemberian tidak boleh diminta balik atau ganti nilainya oleh mana-mana pihak jika ia telah digunakan, rosak atau telah berubah sifat asalnya.

      Mazhab Hanbali berpendapat bahawa hadiah-hadiah pertunangan tidak boleh dituntut kembali apabila berlaku mungkir janji untuk berkahwin atau pembatalan pertunangan kerana ia dianggap sebagai hibbah.

      Mazhab Maliki merujuk kepada syarat jika ada syarat. Jika tiada hendaklah dirujuk kepada adat. Jika tiada maka dilihat kepada pihak yang memutuskan pertunangan.
  • Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan, maka dia tidak berhak menuntut kembali hadiah pemberiaannya kerana tindakannya memutuskan pertunangan, kalau dibenarkan lelaki menuntut kembali hadiah pemberiaannya, bererti pihak perempuan terpaksa menanggung dua risiko bencana iaitu yang pertama, lelaki yang meminangnya berpaling tadah dan memutuskan hubungan pertunangan. Kedua, terpaksa pula mengembalikan hadiah-hadiah yang diterimanya semasa dalam pertunangan. 
  • Jika pihak perempuan yang memutuskan pertunangan, maka ketika itu pihak lelaki berhak menuntut kembali hadiah yang diberinya semasa pertunangan, sama ada hadiah itu masih wujud dalam milik perempuan atau telah rosak dan sebagainya supaya pihak lelaki tidak menanggung dua risiko bebanan dalam suatu masa, iaitu hilang hartanya dan putus pula pertunangan.
Jika dilihat, jelas pendapat Mazhab Maliki adalah paling wajar diamalkan bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh orang yang berkenaan.
Namun terdapat adat pertunangan yang diamalkan bertentangan dengan prinsip syarak :
  • Jika pihak lelaki yang mungkir janji akan pertunangan itu dan tidak mahu berkahwin, maka dia tidak boleh menuntut kembali hadiah-hadiah yang diberikan kepada pihak perempuan (tidak bertentangan dengan syarak).
  • Sebaliknya, jika perempuan yang mungkir janji akan pertunangan itu, maka dia hendaklah membayar dua kali ganda harga duit atau barang-barang yang diberikan oleh pihak lelaki. 
Adat ini menampakkan pertentangan dengan prinsip-prinsip Islam kerana ia menimbulkan penipuan atau gharar dan penindasan terhadap pihak perempuan. Apabila sesuatu pertunangan itu dibatalkan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak, maka tidaklah wajar pihak lelaki atau perempuan menuntut balik pemberian masing-masing. Ini kerana pemberian tersebut dianggap sebagai hibah atau hadiah dan menjadi kepunyaan penerima hibah. Walaubagaimanapun tidak menjadi kesalahan jika mana-mana pihak secara  sukarela dan redha untuk memulangkan pemberian pertunangan atau melepaskan (menghalalkan) kepada pihak penerima dan menganggap ia sebagai hadiah.
Adat pertunangan yang diamalkan banyak mendatangakan faedah dan boleh merapatkan hubungan kedua-dua belah pihak. Adat ini juga menggalakkan pemberian hadiah di antara kedua-dua pihak dan oleh itu boleh mendatangkan kehormatan dan kasih sayang di antara mereka. Namun prinsip ini akan tercemar jika pemberian itu bertujuan untuk menunjuk-nunjuk sehingga timbul rasa riak, takbur dan sebagainya.[10]                                                  

9.0.2    SUDUT PANDANGAN DARI SEGI PERUNDANGAN
             Apabila berlakunya putus tunang secara tidak munasabah maka mereka berhak menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah. Mengenai pembatalan perjanjian pertunangan, mengikut Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, jika seseorang mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian itu boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.
 Seksyen ini dengan jelas membezakan pembatalan pertunangan bersebab dengan pembatalan tanpa sebab yang sah. Pembatalan tanpa sebab yang sah merujuk kepada alasan yang tidak boleh diterima oleh pihak yang satu lagi. Maksud ini dijelaskan lagi dengan ayat seterusnya yang menyatakan bahawa pihak yang satu lagi masih mengharapkan berlaku perkahwinan itu. Jika berlaku keadaan ini, pihak yang ingkar boleh didakwa di mahkamah syariah. Dan jika sabit kesalahan dia wajib membayar ganti rugi perkara berikut:
               I.            Memulangkan pemberian pertunangan, jika ada.
            II.            Membayar apa-apa wang yang dibelanjakan oleh satu pihak untuk membuat persediaan bagi perkahwinan.


Jika pihak yang membatalkan pertunangan ialah lelaki, maka apa-apa pemberian tunangnya yang perempuan seperti cincin, kasut, makanan dan seumpamanya sebagai pemberian balas pertunangan perlu dipulangkan kembali. Manakala jenis makanan yang sudah habis dimakan, perlu dinilai kadarnya. Begitu juga dengan barangan yang sudah haus atau hilang perlu digantikan dengan yang seumpama dengannya. Keadaan yang sama perlu dilakukan kalau sekiranya pihak perempuan yang membatalkan pertunangan itu. Berdasarkan peruntukan seksyen ini, pihak yang kena batal baik lelaki mahupun perempuan tidak perlu memulangkan segala yang diterima.
Selain itu dalam tempoh pertunangan itu, tentulah pihak perempuan atau lelaki telah membuat persediaan awal demi merealisasikan perkahwinan itu seperti membaiki beranda rumah, membaiki dapur dan membeli katil dan perabot. Malah boleh jadi semakin hampir hari perkahwinan mereka sudah membayar deposit untuk majlis makan, mencetak kad jemputan dan menempah baju serta pelamin.
Semua yang dibelanjakan itu perlu ditaksirkan oleh pihak yang menanggung rugi. Maka pihak yang membatalkan pertunangan itu boleh dituntut untuk membayar segala perbelanjaan yang telah dibuat itu. Malah pihak yang kena batal boleh membuat dakwaan ke mahkamah jika pihak yang membatalkan itu tidak mahu membayar secara rundingan. Namun pihaknya perlu menyediakan bukti dan saksi bagi menguatkan dakwaannya di mahkamah.[11]
·         Kuasa Mahkamah Syariah
Seperti yang dijelaskan di atas, jika pihak yang memutuskan pertunangan itu mempunyai sebab yang sah dan diiktiraf hukum syarak, maka pihak yang memutuskan pertunangan itu tidak perlu memenuhi kedua-dua keperluan yang diperuntukkan di dalam seksyen 15. Apatah lagi kalau kedua belah pihak bersetuju berdamai dan saling bermaafan.Tetapi jika salah satu pihak tidak bersetuju dan mahukan keadilan, bolehlah satu pihak mendakwa di mahkamah syariah atas seksyen 15 itu. Hakim akan memutuskan kadar yang perlu dibayar oleh pihak yang mungkir secara adil. Dan pihak yang teraniaya dalam kes ini harus berlapang dada dengan keputusan itu walaupun tidak memuaskan hatinya.
Inilah bidang kuasa mahkamah syariah dalam melindungi umat Islam mengikut enakmen pentadbiran undang-undang keluarga Islam. Oleh sebab itu mahkamah syariah tidak ada kuasa untuk mendengar tuntutan selain daripada di atas. Jadi, ganti rugi kerana rasa dimalukan oleh pihak yang mungkir tidak boleh dibawa ke mahkamah syariah. Hal ini kerana persoalan ganti rugi malu bukan urusan yang dibenarkan agama.
Terdapat satu pihak menuntut ganti rugi malu kerana tidak dapat meneruskan majlis yang telah diketahui umum. Kononnya bagi menutup malu dituntut jutaan ringgit kepada pihak yang membatalkannya. Tuntutan sebegini tidak akan didengari oleh mahkamah syariah. Jika dia mahu bolehlah menuntutnya di mahkamah sivil, ia bergantung kepada mahkamah tersebut sama ada mahu mendengarnya atau tidak. Perlu dijelaskan di sini bahawa Mahkamah Sivil tidak ada kuasa untuk membicarakan tuntutan berkaitan dengan hal ehwal pertunangan kerana urusan tersebut termasuk dalam urusan agama. Apatah lagi Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah mengeluarkan Mahkamah Sivil daripada mempunyai bidang kuasa membicarakan perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa ke atasnya.
Jadi, sebagai orang Islam kita wajib mengikut adab dan adat yang terdapat dalam Islam. maka mereka yang bertunang harus berpegang teguh kepada perjanjian dan sebaiknya tidak membatalkan pertunangan. Firman Allah:
يا ايها الذين امنوا اوفوا بلعقود
Maksudnya :
 “Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah segala janji-janji kamu….”
(Surah al-Ma’idah : ayat 1)
Sungguhpun begitu kalau perlu dibatalkan kerana sebab-sebab yang munasabah lakulah secara suka sama suka, dan berundinglah secara baik. Jagalah akhlak orang Islam semasa bertunang apatah lagi ketika hendak membatalkan pertunangan. Semua pihak perlu mengikut adab sopan yang diajarkan oleh Islam.[12]



10.0    TUJUAN PERTUNANGAN

             Pertunangan brtujuan untuk memberi kesempatan kepada lelaki dan perempuan lebih mengenali diri serta keluarga masing-masing, bukan tiket untuk bergaul mesra seumpama suami isteri yang sah kerana perhubungan lelaki dan wanita mempunyai batasan tertentu. Oleh itu, bagi pasangan muda mudi yang masih di alam percintaan atau pertunangan perlu menjaga batas hubungan yang ditetapka agama. Jika mereka melakukan hubungan hubungan seks sebelum bernikah, mereka sudah melanggar batasan agama melarang perbuatan zina.Berdasarkan hukuman Islam, mereka yang melakukan zina boleh dihukum 100 kali sebat bagi individu yang belum bernikah, dan direjam dengan batu bagi mereka yang sudah bernikah. Mereka yang sudah mampu dan bersedia dari segi mental, fizikal serta mempunyai keyakinan daripada aspek ekonomi perlulah menyahut seruan agama untuk bernikah atau mendirikan rumah tangga. Amalan menangguhkan perkahwinan atau pernikahan tidak digalakkan Islam.  
            Larangan menjauhi perbuatan menjurus kepada zina termasuk berdua-duaan lelaki dan perempuan banyak diingatkan dalam firman Allah sebagai dalil yang perlu diberi perhatian disebabkan kesannya yang boleh membawa kehancuran serta masalah besar. 
Antaranya firman Allah :
ولا تقربوا الزنا إنه كان فاحشة وساء سبيلا
Maksudnya:
"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan mendatangkan keburukan."

( Surah al-Israk : ayat 32 )

Terdapat banyak dalil yang memberi amaran serta mengingatkan umat Islam supaya menjauhi zina. Ini perlu diingatkan dan didedahkan kerana dapat dilihat budaya masyarakat hari ini, majlis tunang ibarat majlis pernikahan. Jika dulu, majlis pertunangan hanya dihadiri ahli keluarga atau wakil pihak lelaki untuk berbincang dengan keluarga perempuan, tetapi hari ini si jejaka turut hadir sama, malah bergambar dalam suasana menimbulkan fitnah kepada orang ramai. Majlis pertunangan kini berubah seakan majlis persandingan apabila kedua-dua lelaki dan perempuan yang hanya baru diikat dengan kata janji untuk disatukan, dibenarkan duduk bersebelahan sambil disaksikan keluarga. Mungkin restu yang diberikan ahli keluarga menyebabkan pasangan bertunang lupa akan batasan yang perlu dijaga hingga ada yang setiap hari berjumpa malah, ada juga yang dibawa pulang untuk bermalam di rumah ibu bapa. 
Sebagai pihak yang bertanggungjawab, ibu bapa sepatutnya membimbing pasangan yang bertunang supaya menjaga hubungan itu mengikut syariat agama sehingga mereka sah disatukan sebagai suami isteri kerana tempoh bertunang ialah masa untuk mereka mengenali satu sama lain. Sudah diberi amaran jelas akan perkara itu dalam sabda Rasulullah s.aw yang bermaksud :

"Jangan kamu berseronok-seronok atau berdua-duaan dengan wanita, kerana yang ketiga itu adalah syaitan."

( Hadis riwayat at-Tabrani ) 

Hormati ikatan pertunangan dengan menjadikannya sebagai janji murni ke arah memenuhi Sunnah Rasulullah SAW untuk membina keluarga yang dilimpahi perasaan kasih sayang dan kesejahteraan. [13]


11.0     PENUTUP

Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah s.w.t sebagai pokok utama kesejahteraan sesebuah rumah tangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik, perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan sahaja sebagai syarat yang akan mengsejahterakan dan mengukuhkan rumah tangga.
Tidak hairanlah selepas berkahwin, kehidupan anak-anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya anak-anak tidak taat kepada ibu bapa dan isteri menjadi ”queen control” kepada suami dan suami hilang khemahnya di dalam mentadbir rumah tangga menurut syariat Islam.
Untuk mendapat keberkatan Allah s.w.t, dari awal proses peminangan lagi kita mesti menjaga adab dan tatasusila menurut yang dibenarkan syarak. Keberkatan Allah s.w.t ini tidak dapat hendak kita gambarkan kerana hatilah yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu dua, namun sampai kehari tua.
Namun, kalau dalam sesuatu majlis peminangan itu, awal-awal lagi kita tidak dapat menjaga syariat dan adab menurut Islam, sampai akhir hayat pun mungkin rumah tangga itu nampak ’tidak cantik’ dan tidak bahagia. Ada sahaja kusut masainya. Hati pun kadang-kadang tidak tenang untuk tinggal dirumah dan inilah yang banyak berlaku pada hari ini.
Sebab itu sangat penting menjaga suasana majlis peminangan, biarlah bersusah-susah sedikit asalkan syariat Allah swt dapat kita jaga dengan baik semuga mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah swt.  Mudah-mudahan pengumpulan maklumat-maklumat di atas dapat dijadikan panduan dalam melaksanakan sesuatu majlis pertunangan menurut syariat Islam.

12.0     RUJUKAN

  1.  Al-Quran
  2. Dato’ Ismail Kamus (2009). Indahnya Hidup Bersyariat Modul Fardu Ain Diri. Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat. Hlm 188-190. Kuala Lumpur. Telaga Biru Sdn. Bhd.
  3.  Abdul Azhim bin Badawi al-Khalafi (2001). Panduan Fiqih Lengkap Jilid 2. Hlm 198-199.Bongor. Pustaka Ibnu Katsir.
  4.  Ustaz Abdul Aziz (1992). Kursus dan Bimbingan Perkahwinan. Hlm 3-11. Kuala Lumpur. Darul Nu’man.
  5. Haji Said Haji Ibrahim (1984). 400 Soal jawab Nikah Kahwin. Hlm 32-36. Terengganu. Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd.
  6.  Tariq Ismail Kakhia (1998). Perkahwinan di dalam Islam. Hlm 40-47 . Kuala Lumpur. Pustaka Salam.
  7.  Dato’ Dr Ismail Haji Ibrahim (1999). Isu-isu Semasa Dari Perspektif Islam. Hlm 59. Kuala Lumpur. Institute Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
  8.  Syeikh Ahmad Jad (2009). Ensiklopedia Fikah Sunnah Wanita. Hlm 342-348.Kuala Lumpur. Al-Hidayah Publication.
  9. Zahazan Mohamed (2011). A-Z tentang Munakahat Tapi Anda Tiada Tempat Bertanya. Hlm 4-6. Kuala Lumpur. Telaga Biru.
  10. Abdul Latiff Abu Bakar (2004).Kepimpinan Adat Perkahwinan Melayu Melaka  . Hlm 21. Melaka. Titanium Elite Sdn Bhd.
  11. Wan Nordin Wan Abdullah (2014). Kekeluargaan. Hlm 78-80. Selangor. Utusan Printcorp Sdn Bhd.


[1] Syeikh Ahmad Jad (2009)
[2] Wan Nordin Wan Abdullah (2014)
[3] Dato’ Ismail Kamus (2009)
[4] Tariq Ismail Kakhia ( 1998 )
[5] Ustaz Abdul Aziz (1992)
[6] Abduk Latiff Abu Bakar
[7] Ustaz Abdul Aziz (1992)
[8] Abdul Azhim Bin Badawi al-Khalafi (2001)
[9] Zahazan Mohamed (2011)
[10] Dato’ Dr Ismail Haji Ibrahim ( 1999 )
[11] Syeikh Ahmad Jad (2009)
[12] Haji Said Haji Ibrahim ( 1984 )
[13] Dato’ Ismail Kamus (2009)

2 comments:

  1. Assalammualaikum sy nak tanya . Sy ni dah bertunang . Sy mengandung anak tunang sy . Dan dia taknak bertanggungjawab dan ingin memutuskan pertunangan. Apakah yang sepatutnya sy lakukan untuk pertahankan hak sy ?

    ReplyDelete
  2. 888casino Review for December 2021 - DrMCD
    888casino offers a wide range of online slots and video 구미 출장샵 poker 삼척 출장안마 games, and is one of the newest in the iGaming industry. The operator is 경산 출장샵 owned 시흥 출장마사지 by TCS  Rating: 9/10 · 서울특별 출장샵 ‎Review by Dr

    ReplyDelete